Ahad, 24 Julai 2016

Tiki Taka

Falsafah bola sepak Bayern masih sama. Mereka:
  1. Bermain dengan garisan defensif (defensive line) yang tinggi
  2. Pemain mereka versatil dan boleh bermain dalam banyak posisi
  3. Sentiasa mengadaptasi taktikal mereka untuk mendedahkan kelemahan taktikal pasukan lawan
  4. Menggunakan peraturan 15 hantaran untuk menyusun organisasi serangan dan pertahanan
Bermain dengan defensive line yang tinggi
Seperti pasukan Barcelona kendalian Pep Guardiola dulu, Bayern gemar bermain dengan garisan defensif (defensive line) yang tinggi.
Bagi sesetengah pasukan, bermain dengan garisan defensif yang tinggi umpama menempah maut. Pasukan anda akan meninggalkan ruang yang sangat besar di belakang pertahanan tengah.
Dan ruang ini boleh dieksploit oleh penyerang yang laju dalam serangan balas.
Inilah yang berlaku ketika Bayern kalah kepada Vfl Wolfsburg (1-4) dan Borussia Monchengladbach (0-2) pada musim lepas.
Untuk mengelak penyerang pihak lawan mengeksploit ruang yang besar di belakang pertahanan tengah mereka, Bayern akan:
  1. Melakukan counter-pressing (atau gegenpressing) setiap kali mereka kehilangan bola.
  2. Memastikan ada sekurang-kurangnya 1 pertahanan tengah laju (Jerome Boateng, Mehdi Benatia dan kadangkala Juan Bernat juga).
  3. Memberi kebebasan kepada Manuel Neuer untuk menjadi sweeper (last man).

Pemain versatil
Dalam skuad Bayern, mereka mempunyai banyak pemain versatil.
David Alaba boleh bermain sebagai pertahanan tengah, bek kiri dan pemain tengah. Philip Lahm boleh bermain sebagai bek kanan, pemain sayap dan pemain tengah.
Pep Guardiola perlu berterima kasih kepada Marcelo Bielsa kerana mengajar Javi Martinez – seorang defensive midfielder – cara bermain sebagai pertahanan tengah semasa di Athletic Bilbao dulu.
Di Bayern, Thiago pernah bermain sebagai pemain tengah, defensive midfielder dan pemain sayap.
Manakala Mario Goetze pula sudah mencipta nama sebagai pemain sayap klasik.
Jika dulu beliau terkenal sebagai inverted winger dan attacking midfielder, kini Goetze kerap berlari berhampiran dengan garisan tepi padang sebelah kanan.

Mengadaptasi taktikal untuk eksploit kelemahan lawan
Di bawah kendalian Pep Guardiola, Bayern menjadikan bola sepak seperti perlawanan catur. Mereka tiada formasi kegemaran.
Sebaliknya, scouting team Bayern akan menganalisis taktikal pasukan lawan.
Dan Guardiola akan mengubah taktikal Bayern supaya mereka dapat mengeksploit kelemahan taktikal pasukan lawan.
Keversatilan pemain-pemain Bayern seperti Alaba, Lahm, Thiago, Mueller dan Goetze membolehkan Bayern menukar formasi dan sistem permainan mereka mengikut situasi perlawanan.
Tetapi secara kasarnya, Bayern akan bermain dengan 3 pertahanan tengah jika mereka menentang pasukan yang menggunakan 2 penyerang.
Ini adalah untuk mencipta situasi 3 lawan 2 di bahagian pertahanan Bayern.
Jika mereka menentang pasukan yang menggunakan 1 penyerang, mereka akan bermain dengan 2 pertahanan tengah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan